Rabu, 5 Ogos 2015

MENGENALI APA ITU PERTANIAN


pertanian
Sebelum saya meneruskan penceritaan tentang aktiviti-aktiviti yang pernah dilakukan, saya akan mencreritakan tentang apa itu pertanian. Untuk mendalami dengan lebih mendalam kita harus mengetahui terlebih dahulu apa perihal pertanian. Bab kata orang "tak kenal maka tak cinta".
Pertanian merujuk kepada perihal pengeluaran makanan dan barangan melalui perkebunan, penanaman, penternakan dan perhutanan. Pertanian merupakan pembangunan penting kepada kebangkitan tamadun apabila penanaman dan penternakan membawa kepada lebihan makanan dan seterusnya membolehkan pembangunan dalam masyarakat yang semakin ramai dan berkelas. Sektor pertanian, merupakan antara aktiviti ekonomi yang dikategorikan sebagai sektor utama (primer sektor) selain daripada perlombongan dan kuari. Walaupun proses urbanisasi semakin pesat dan tumpuan banyak diberikan kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan, namun majoriti populasi di Asia Tenggara masih mendiami kawasan luar bandar dan bergantung kepada kegiatan pertanian sebagai sumber ekonomi utama.
Sektor pertanian sememangnya merupakan sektor yang terpenting bagi negara-negara membangun seperti Malaysia. Malah ia merupakan antara ciri terpenting yang membezakan status antara negara-negara membangun dan negara-negara maju. Sektor ini jugalah yang telah menyumbang kepada asas pembentukan ekonomi Malaysia di dalam era selepas merdeka yang mana pada masa tersebut, majoriti penduduk tertumpu kepada aktiviti ekonomi berasaskan pertanian dan perlombongan. Namun, dengan kepesatan pembangunan dan kemajuan negara, sektor pertanian beransur-ansur dipandang sayu. Para petani juga tidak lagi berminat menjalankan kerja-kerja tani yang dahulunya pernah menjadi pekerjaan turun-temurun. Lebih parah, generasi pelapis yang diharapkan akan meneruskan pekerjaan turun-temurun itu lebih berminat berhijrah ke bandar-bandar besar mencari pekerjaan yang lebih ´bermaruah´ dan menawarkan pendapatan yang lebih tinggi dan terjamin dalam sektor perindustrian. Hal ini kerana imej pekerjaan di sektor perindustrian dilihat lebih tinggi dan memiliki kemudahan sosial yang lebih baik. Peluang membaiki taraf ekonomi melalui pendapatan di sektor perkilangan dan perkhidmatan lebih terjamin. Sebaliknya, pendapatan di sektor pertanian tidak stabil.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan